Blog Bola Sepak Malaysia

Padang Baru Stadium Hang Jebat Bernilai RM500 Ribu


MELAKA United sedia menerima kunjungan pasukan lawan di Stadium Hang Jebat selepas proses menggantikan rumput baharu jenis ‘cow grass’ di venue tersebut sejak November lalu telah siap sepenuhnya.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pemeriksaan kualiti padang oleh jawatankuasa teknikal Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) mengesahkan ia telah menepati piawaian yang ditetapkan.
Menurut beliau, padang yang dinaiktaraf dengan kos RM500,000 itu akan digunakan sebagai venue tuan rumah oleh Melaka United pada saingan Liga Super dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi saingan di Liga Premier musim ini.
“Sebelum ini, kerja menaiktaraf dilakukan bagi menukar rumput yang tidak rata dan beralun. Walaupun memerlukan sedikit masa untuk rumput ini matang sepenuhnya, tetapi stadium ini sudah boleh digunakan dan menepati syarat yang ditetapkan.
“Untuk perlawanan pertama, kita terpaksa menolak permintaan PDRM untuk mengadakan perlawanan di sini (Stadium Hang Jebat) bagi memberi laluan kepada pasukan tuan rumah yang akan menentang T-Team esok (hari ini).
“Kita berharap keadaan padang yang rata akan memberi kelebihan kepada Melaka United untuk mempamerkan corak permainan yang lebih baik pada musim ini,” kata Yusoff ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Melaka United di stadium berkenaan kelmarin.
Yusoff sebelum ini dilaporkan berkata, Stadium Hang Jebat ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf sebagai persediaan pasukan tuan rumah mengharungi Liga Super musim ini.
Selain menggantikan rumput, venue itu akan dilengkapi dengan papan tanda elektronik LED dan semua kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta.
Turut diselenggara, dua buah padang lain di Kompleks Sukan Krubong, Melaka yang akan dijadikan pusat latihan Melaka United.

0 Comments for "Padang Baru Stadium Hang Jebat Bernilai RM500 Ribu"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top