Blog Bola Sepak Malaysia

Sarawak uji 7 pemain import Liga Super 2017


SESI UJIAN: Mark (kanan) dan Everton (kiri) memanaskan badan sebelum memulakan sesi ujian di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching semalam. — Gambar Harry Ilias

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop mencari dua atau tiga pemain import asing yang sedang mengikuti ujian ketika ini untuk menjalani saringan terakhir.
Menurutnya, sebaik dikenal pasti semua pemain tersebut akan diuji dalam satu perlawanan persahabatan yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Ketika ini, tujuh pemain import asing sedang menjalani ujian dengan tiga pemain baharu tiba semalam manakala empat telah memulakan sesi ujian bersama skuad Sarawak sejak Isnin lalu.
Mereka ialah bekas penyerang Sarawak pada 2013, Ivan Babic, 32, dari Croatia, dua pemain dari Korea Selatan, Do Dong Yong, 23, dan Lee Jong Ho, 24, serta bekas penyerang Sabah dari Brazil, Everton Souza Santos, 31.
Tiga lagi pemain yang tiba semalam ialah penyerang muda skuad kebangsaan Filipina, Mark Andrew Hartman, 24, Autor Ramirez, 26, dari Sepanyol dan Carlos Delgardo, 31, dari Argentina.
“Saya berharap pemain-pemain import yang menjalani ujian dapat memenuhi kriteria yang diperlukan.
“Kita akan lihat dahulu kebolehan mereka dan tidak akan terburu-buru membuat keputusan (pemilihan),” katanya ketika ditemui pada sesi ujian di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.
Menurut David, beberapa pemain dari Liberia dan Bosnia Herzegovina akan tiba dalam masa terdekat untuk mencuba nasib bersama pasukan Ngap Sayot.
Sarawak dalam pencarian tiga pemain import untuk menghadapi kempen Liga Super 2017 selepas satu lagi slot hampir pasti milik pemain pertahanan, Teah Dennis.
Dalam pada itu, David mengakui tertarik dengan kelibat Mark Andrew selepas menyaksikan pemain itu beraksi ketika lawatan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) ke Singapura baru-baru ini.
Menurutnya, pemain muda itu merupakan penggempur utama kelabnya, Geylang International yang bersaing dalam Liga Singapura musim ini.
Pemain kelahiran Southampton, England itu turut mewakili Filipina pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016.
“Mark mempunyai ketinggian dan mampu beraksi dengan baik di bahagian serangan. Namun, kita akan uji dahulu sejauh mana kemampuannya,” kata David
Sumber: theborneopost
0 Comments for "Sarawak uji 7 pemain import Liga Super 2017"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top