Blog Bola Sepak Malaysia

Kenali 7 Penjaga Gol Bola Sepak Lagenda Terbaik Malaysia

Dalam permainan bolasepak, tangan hanya boleh digunakan apabila membuat lontaran ke dalam selepas bola keluar daripada garisan. Namun begitu, satu-satunya pemain yang boleh menggunakan tangan atau lengannya sepanjang masa di dalam kawasan kotak penalti (kecuali ketika menerima hantaran rakan sepasukannya menurut undang-undang moden) ialah penjaga gol. Penjaga gol menjadi pemain yang mula-mula sekali disenaraikan dalam kesebelasan utama dengan #1 di belakang jersinya.Walaupun begitu, kadang kala penjaga gawang juga didapati diberikan nombor duabelas (#12) atau ke atas.

1. Sexton Lourdes (Malaya)

Penjaga gol hebat yang sezaman dengan Abdul Ghani Minhat ini merupakan antara perintis awal yang telah membuka jalan bagi mencorak generasi masa hadapan penjaga gol tanah air. Di samping menjadi penjaga gawang utama skuad kebangsaan, beliau juga banyak menghabiskan karier bolasepaknya dengan bermain untuk pasukan Selangor FA dalam kancah bolasepak tempatan.

2. Chow Chee Keong
Asian Stainless Steel Gate

Dikenali sebagai Crazy Sword, penjaga gol ini telah bermain untuk negara pada usia yang sangat muda. Beliau mula mewakili negara di peringkat umur bawah-20 pada 1963 ketika berumur 13 tahun dan terus dipanggil menyertai skuad senior kebangsaan hanya dua tahun kemudian. Diiktiraf sebagai penjaga gawang terbaik oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebanyak 5 kali berturut-turut dari 1966 hingga 1970, beliau pernah menyarung jersi beberapa kelab Hong Kong iaitu Hong Kong Rangers FC, Jardines (Jardine SA), South China AA, dan Tung Sing FC.

3. Wong Kam Fook

Beliau merupakan penjaga gol kebangsaan yang beraksi dalam Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972. Pernah memenangi Piala Malaysia dengan pasukan Perak FA pada tahun 1970, beliau mengakhiri kerjaya bolasepaknya di Hong Kong setelah beraksi bersama beberapa kelab Hong Kong seperti Seiko SA, Hong Kong Rangers FC, South China AA, dan Caroline Hill FC.

4. Lim Fung Kee

Bekas penjaga gawang Selangor FA ini turut berada dalam skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Dalam temasya sukan tersebut, beliau menjadi pemain gantian kepada Wong Kam Fook dalam satu perlawanan menentang Maghribi. Beliau juga pernah beraksi bersama sebuah kelab dari Hong Kong iaitu Seiko SA.

5. R. Arumugam
kredit: chedinsphere.blogspot.com

Penjaga gol yang amat disegani ini adalah pemain kebangsaan seangkatan dengan pemain lagenda negara, Mokhtar Dahari. Popular dengan nama jolokannya iaitu Spiderman, beliau telah memperoleh 196 kaps bersama Malaysia dan merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia di Tehran, Iran pada 1974. Bermain bersama Selangor FA di sepanjang kariernya, beliau turut membantu skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow walaupun Malaysia kemudiannya menarik diri bagi memboikot tuan rumah Kesatuan Soviet (Rusia).

6. Abdul Rashid Hassan

Selepas bersara daripada bermain bolasepak, penjaga gawang ini juga hebat sebagai jurulatih penjaga gol. Berasal dari Alor Gajah (Melaka), beliau mula mengembangkan bakat semulajadinya sebagai penjaga gol semenjak zaman persekolahan di Singapura. Antara pencapaian yang diperolehinya semasa mewakili skuad kebangsaan ialah kemenangan pingat emas di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) pada tahun 1989 yang diadakan di Kuala Lumpur.

7. Ong Yu Tiang

Penjaga gawang ini pernah berkhidmat untuk beberapa pasukan, antaranya Terengganu FA, Selangor FA, PDRM FA, dan Pahang FA. Mula dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada tahun 1980, beliau juga pernah menganggotai pasukan bolasepak pantai kebangsaan dalam sebuah kejohanan bolasepak pantai pada tahun 1998 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.


0 Comments for "Kenali 7 Penjaga Gol Bola Sepak Lagenda Terbaik Malaysia"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top