Blog Bola Sepak Malaysia

Kenali 7 Pemain Pertahanan Bola Sepak Lagenda Terbaik Malaysia


Pemain-pemain pertahanan biasanya tidaklah sepopular sepertimana pemain-pemain penyerang. Perkara ini terjadi kemungkinan disebabkan oleh posisi penyerang yang menggalas tugas glamor, iaitu menjaringkan gol dengan sebanyak mungkin untuk memenangi sesuatu perlawanan (lalu mereka diangkat menjadi wira). Dengan sebab itu, peranan para pemain pertahanan seringkali dipandang enteng. Walhal para pemain pertahanan juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kemenangan dengan memastikan gol sekiranya dibolosi tidak melebihi gol yang dijaringkan terhadap pasukan lawan. Walau bagaimanapun, pemain-pemain pertahanan juga wajar diberi penghormatan serta penghargaan memandangkan formasi bolasepak hanya akan menjadi lengkap apabila para penyerang turut digandingkan dengan para pemain pertahanan (di samping penjaga gol, pemain tengah, pemain sayap, dan pemain bek) untuk bekerja sebagai sebuah pasukan. Berikut disenaraikan beberapa pemain pertahanan yang pernah menjadi tonggak utama barisan pertahanan negara.

1. M. Chandran

M.Chandran

Dilahirkan di Sungai Siput (Perak), bekas kapten pasukan kebangsaan ini menjadi pemain yang bertanggungjawab untuk mengemudi bahagian pertahanan negara dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Selain itu, beliau turut berpengaruh dalam membantu negara untuk memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Selepas bersara daripada bermain, beliau pernah menjadi jurulatih negara dan jurulatih pasukan lamanya iaitu Selangor FA.

2. Namat Abdullah
Namat Abdullah

Mampu bermain di posisi pertahanan tengah mahupun bek kiri, pemain ini merupakan abang kepada Shaharuddin Abdullah (bekas penyerang kebangsaan). Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini juga telah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik 1972 di Jerman.

3. Soh Chin Aun
Soh Chin Aun
Tauke (a.k.a. Towkay)

Sekiranya Allahyarham Mokhtar Dahari dianggap sebagai pemain #10 (playmaker) Malaysia sepertimana Diego Maradona untuk Argentina, pemain ini pula adalah libero bagi pasukan negara ibarat Franz Beckenbauer bagi Jerman. Sebagai salah seorang anggota skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, beliau berpeluang untuk bermain di Sukan Olimpik buat kali kedua pada tahun 1980 yang diadakan di Moscow (kali ini sebagai kapten) namun terlepas peluang tersebut apabila Malaysia telah menarik diri (untuk memboikot tuan rumah Rusia) walaupun layak.

4. Santokh Singh
Santok Singh

Pemain ini telah membentuk gandingan yang sangat mantap di bahagian pertahanan bersama Soh Chin Aun ketika beraksi untuk skuad kebangsaan. Gandingan ini ditambah pula dengan kekebalan R. Arumugam sebagai penjaga gol dan Mokhtar Dahari sebagai penjaring hebat semasa zaman yang dikenali sebagai era kegemilangan bolasepak negara. Dilahirkan serta dibesarkan di Setapak (Kuala Lumpur), beliau juga telah bermain untuk pasukan Selangor FA sehingga bersara.

5. Serbegeth "Shebby" Singh
Shebby Singh

Beliau merupakan salah seorang pemain kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. Dilahirkan di Kluang (Johor), pemain yang mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi ini pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 3 kali berturut-turut (1987-1989) bersama pasukan Kuala Lumpur FA selepas berpindah dari kelab asal beliau iaitu Johor FA. Kini, beliau lebih dikenali sebagai seorang pengulas sukan di samping pernah terlibat dalam rancangan realiti TV, 'MyTeam'. Pernah juga dilantik sebagai Penasihat Global bagi sebuah kelab Inggeris yakni Blackburn Rovers FC.

6. Zainal Abidin Hassan
Zainal Abidin Hassan

Asalnya seorang penyerang, bekas pemain kebangsaan yang versatil ini pernah menyarung jersi Selangor FA dan Pahang FA (di mana beliau dan Dollah Salleh menjadi gandingan yang amat terkenal). Beliau juga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam kejohanan Piala Asia Tenggara (kini Piala AFF) pada tahun 1996 sewaktu berumur 35 tahun walaupun tewas 1-0 kepada Thailand dalam perlawanan akhir. Selepas berhenti bermain pada tahun 1999, beliau telah beralih arah kepada bidang kejurulatihan pula.

7. Azmil Azali
Azmil Azali

Berasal dari Pulau Sebang (Melaka), bekas pemain kebangsaan ini mencipta nama ketika bermain bersama pasukan Johor FA. Menjadi pilihan regular dalam skuad kebangsaan era 1990-an, beliau pernah diiktiraf sebagai Pemain Muda Terbaik dalam pertandingan Piala Dunhill pada tahun 1997. Menggantungkan but pada tahun 2003, beliau juga pernah berkhidmat dengan pasukan Pahang FA dan Melaka FA.

SUMBER


0 Comments for "Kenali 7 Pemain Pertahanan Bola Sepak Lagenda Terbaik Malaysia"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top