Blog Bola Sepak Malaysia

Kenali 7 Pemain Tengah Lagenda Terbaik Malaysia

Sekiranya penyerang dan pemain sayap banyak melibatkan diri dalam serangan, penjaga gol dan pemain pertahanan lebih kepada bertahan, pemain tengah pula merupakan penghubung bagi kedua-dua bahagian tersebut. Sebagai jentera yang menggerakkan sesebuah pasukan, pemain tengah juga menjadi nadi utama dalam menentukan kemenangan seandainya mereka berjaya memastikan gol-gol yang dijaringkan adalah lebih daripada yang dibolosi. Pemain tengah bukan sahaja perlu membantu di bahagian pertahanan, mereka juga perlu membantu bahagian serangan dengan membuat sebanyak mungkin hantaran serta membuka peluang kepada rakan-rakan lain untuk menjaringkan gol. Malah, mereka juga sama-sama bertanggungjawab untuk menjaringkan gol di samping perlu mengawal permainan dengan baik agar rakan-rakan sepasukan berupaya mendapat kelebihan ke atas pasukan lawan.

1. Ali Bakar

Merupakan abang kepada bekas penyerang kebangsaan iaitu Isa Bakar, pemain tengah yang juga bekas pemain kebangsaan ini telah menjulang nama Pulau Pinang bersama-sama dengan adiknya ketika zaman kegemilangan Penang FA pada suatu ketika dahulu (tahun 1970-an). Antara kejayaan yang dikecapinya adalah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik tahun 1972 di Munich, Jerman dan meraih tempat ketiga dalam Sukan Asia yang berlangsung di Tehran, Iran tahun 1974.

2. Wong Choon Wah

Ramai peminat tegar bolasepak tempatan menganggap pemain lagenda ini, hingga setakat ini, sebagai perancang tengah terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia. Mempunyai gaya dan teknik permainan yang semulajadi, beliau adalah sebahagian daripada pasukan negara yang bertanding dalam Sukan Olimpik 1972 dan pernah menyumbang jasa untuk Selangor FA dan juga sebuah kelab dari Hong Kong iaitu South China Athletic Association.

3. Shukor Salleh
Mr. Cool

Anak jati Pulau Pinang kelahiran Tanjung Bungah ini merupakan bekas pemain tengah bertahan yang penting bukan sahaja bagi Penang FA bahkan juga untuk skuad negara. Memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1977 yang sebelum itu dimenangi oleh Mokhtar Dahari pada tahun 1976, beliau mempunyai 215 kap bersama pasukan kebangsaan dan memperoleh pingat gangsa dalam Sukan Asia 1974.

4. Reduan Abdullah

Bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Dollah Salleh yang merupakan ketua jurulatih kebangsaan pada waktu ini, beliau adalah salah seorang pemain ternama dalam era yang seangkatan dengan Mokhtar Dahari. Bermain untuk Selangor FA di sepanjang kariernya, dahulu beliau juga bermain untuk negara secara regular serta bergandingan mantap dengan Shukor Salleh di bahagian tengah pasukan Malaysia.

5. Nasir Yusof
kredit: dproflegends.wix.com

Pernah mengharumkan nama Johor FA, bekas pemain kebangsaan ini memang bijak mengatur gerakan yang berkualiti dari bahagian tengah sehingga diberi nama jolokan 'The Professor'. Beliau juga pernah terlibat dalam pengurusan skuad kebangsaan apabila menjadi pembantu jurulatih yang turut membimbing pasukan negara mencapai kedudukan ketiga dalam kejohanan Piala AFF pada tahun 2004.

6. Bakri Ibni

Seorang wira bagi Perlis FA dan juga bagi pasukan kebangsaan, beliau merupakan bekas pemain tengah yang telah pun mewakili negara sejak usia muda apabila mengetuai skuad bawah 15 tahun dalam kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN pertama pada 1969. Sekiranya ramai yang mengingati jaringan gol kemenangan James Wong ke atas Korea Selatan yang sepatutnya membawa Malaysia ke Olimpik 1980 di Moscow, pemain inilah yang menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan tersebut apabila keputusan 2-1 memihak kepada Malaysia.

7. Khalid Shahdan
Zico of Malaysia

Pemenang pingat perak (hanya dikalahkan oleh pasukan tuan rumah) dalam Sukan SEA yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada tahun 1987 ini pernah berkhidmat dengan begitu cemerlang sekali dengan Johor FA (kini JDT II) dan juga Johor FC (kini JDT I). Walaupun bertubuh agak kecil, bekas pemain tengah kebangsaan ini mempunyai corak permainan yang lincah semasa bermain dahulu dan kini sedang menceburi bidang kejurulatihan pula bagi menggilap bakat serta menyerlahkan potensi anak-anak muda tempatan.



0 Comments for "Kenali 7 Pemain Tengah Lagenda Terbaik Malaysia"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top